Pluralisme Politik

Pluralisme Politik
Oleh: Mohd Hazizi bin Ab Rahman

Ensiklopedia Britannica mentakrifkan pluralisme politik seperti berikut:
“Pluralism, in political science, the view that in liberal democracies power is (or should be) dispersed among a variety of economic and ideological pressure groups and is not (or should not be) held by a single elite or group of elites. Pluralism assumes that diversity is beneficial to society and that autonomy should be enjoyed by disparate functional or cultural groups within a society, including religious groups, trade unions, professional organizations, and ethnic minorities.”

Menurut Richard E. Flathman (2005), salah satu daripada nilai pluralisme politik ialah mencipta dan mengekalkan persaingan dan konflik yang dengan sendirinya mengelakkan situasi dominasi dan hegemoni. Ahmad Muzakkir & Zulqernain Haider (2016) pula mengungkapkan bahawa pluralisme politik:

“memastikan pelbagai kepentingan dan pandangan dalam masyarakat memiliki peluang untuk disuarakan dan bebas untuk bersaing, seterusnya mencipta evolusi konstruktif bagi pemikiran dan aksi masyarakat yang menolak dominasi oleh kumpulan majoriti.”

Avigail Eisenberg (1995) mendakwa bahawa pluralisme politik bukan sekadar mengenai persaingan antara pelbagai kumpulan, malah ia menawarkan wasilah untuk menyelesaikan masalah ketegangan antara kuasa politik dan pembangunan individu, antara autonomi individu dan keanggotaannya dalam kumpulan, antara individualisme dan komunitarianisme. Pluralisme politik mampu memberikan alat untuk membezakan antara ‘empowerment’ dan ‘domination’ kumpulan dalam masyarakat. Perkara ini dilakukan menerusi dua prinsip utama pluralisme politik, iaitu (1) kuasa hendaklah tidak dipusatkan kepada satu kumpulan dan (2) individu memerlukan pelbagai konteks dalam proses pembangunan dirinya. Menurutnya:

“the two central themes of political pluralism (1) the distribution of political power to vindicate interests, and (2) the distribution of political power to facilitate individual development”

Pemusatan kuasa akan membawa kepada ‘tyranny’ yang menjadi masalah yang mahu diselesaikan oleh pluralisme. Manakala individu pula ialah satu-satunya pihak yang berhak untuk menentukan bentuk identitinya, “she is the author of her life and identity”. Berhubung perkara ini, pluralis tidak menerima set moral para psychologist, apatah lagi ketentuan pihak berkuasa (state).

Solah as-Sowy (2011) berpendapat, dalam fasa penegakan negara yang melaksanakan syariah, syariat menuntut kerjasama dan tolong bantu untuk menegakkan ketuanan syarak, maka pluralisme politik yang menghalang kerjasama dan tolong bantu itu adalah pluralisme politik yang dimurkai. Kesimpulannya, beliau menerima pluralisme politik dalam kerangka prinsip-prinsip Islam, menolak pluralisme politik yang memberi laluan kepada perkumpulan kafir menjadi pemerintah.

Zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima telah ditandakan oleh beberapa sarjana sebagai era baharu demokrasi di Malaysia, apabila ciri dominan dan kawal yang menjadi amalan budaya politik di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin terhakis meskipun tidak secara total. Salah satu natijah besar akibat perubahan amalan budaya politik ini ialah Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum kedua belas tahun 2008. Suasana demokrasi era Abdullah ini yang dilihat berlanjutan sehingga ke zaman Dato’ Seri Najib, dinamakan sebagai kontra hegemoni atau counter hegemony politik orang Melayu, yang diperlihatkan menerusi tindakan masyarakat yang semakin berani menyuarakan pendapat (Noor Sulastry & Nor Azila 2013; Muhammad Nadzri Mohamed Noor dan Ghazali Mayudin 2008).

Oleh yang demikian, walaupun pluralisme politik bukanlah satu perkara yang asing bagi Malaysia, kerana sejak sekian lama ia memiliki negeri-negeri yang ditadbir secara berasingan daripada kerajaan persekutuan dan mengamalkan sikap toleransi yang membenarkan pelbagai pandangan dan pengaruh politik untuk bersama-sama wujud (Soraj Hongladarom, 2010), era kontra hegemoni yang bermula di zaman Abdullah hingga kini bolehlah dikira sebagai era pluralisme politik semakin mengukuh dan subur, lebih-lebih lagi selepas PRU14.

Pluralisme politik yang menghilangkan dominasi dan kawalan kumpulan majoriti ini (dominasi kuasa politik orang Melayu) membuka medan yang luas bagi pelbagai gerakan masyarakat madani dan kumpulan pendesak untuk menimbulkan pelbagai kenyataan dan tindakan yang mencabar kedudukan agama Islam dan mempersoalkan hak istimewa orang-orang Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018, kedudukan orang Melayu yang tidak dominan dalam kalangan kerajaan telah memindahkan segala tindakan yang mencabar status quo itu ke fasa pelaksanaan melalui perubahan polisi-polisi pentadbiran yang tidak selari dengan semangat perlembagaan.

Rujukan:
Ahmad Muzakkir & Zulqernain Haider. 2016. Pluralism, Constitutionalism and Islamic Political Thought.
Al-Ghadban, Munir Muhammad. 2012. Qadhaya Islamiyah Muasirah. Kaherah. Darus Salam.
As-Sowy, Solah. 2011. At-Taadudiyah as-Siyasiyah fi ad-Daulah al-Islamiyah. Kaherah. Darul I’lam al-Dauly.
Eisenberg, Avigail I. 1995. Reconstructing Political Pluralism. State University of New York Press.
Flathman, Richard E. 2007. Pluralism and Liberal Democracy. Florida State University.
Muhammad Nadzri Mohamed Noor & Ghazali Mayudin. 2008. Hegemoni dan kontra hegemoni: memahami perubahan pilihan raya umum Ke-12. UKM.
Noor Sulastry Yurni Ahmad & Nor Azila Mohd Azidin. 2013. Transisi Kontra Hegemoni Dalam Budaya Politik Melayu. Universiti Malaya.
Soraj Hongladarom. 2010. Basing Political Pluralism on Epistemology: The Case of Thailand’s Southern Violence. UKM.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *