PRK Semenyih: Pemuda Berjasa, PAS dan UMNO sepakat ketengah calon muslim wibawa

Kesepakatan ummah bukan retorik, mampu gerunkan pelampau DAP

BANGI, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih diyakini mampu menjadi bantu loncatan untuk kesepakatan ummah yang akan digeruni pihak lawan, khususnya parti pelampau DAP dan sekutu-sekutunya.

Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) mengakui hanya dengan kesepakatan, tentangan pihak anti-Islam akan menjadi semakin tidak relevan di mata masyarakat, dek mengamalkan budaya politik menghasut dan memfitnah.

Sehubungan itu, Ketua Pemudanya, Iqbal Hakim Abdul Razak menyatakan hasrat untuk terus menyokong dan bersama-sama dalam usaha merapatkan saf serta menyuburkan kesepakatan antara parti politik orang Melayu, termasuk PAS dan UMNO.

Sebelum ini, Berjasa membuat kemunculan amat unik pada PRU13, bertanding semata-mata untuk mengangkat seruan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’.

Tindakan itu katanya, selepas melihat perpecahan kronik antara orang Melayu yang menatijahkan kaum minoriti mengambil peluang ke atas perpecahan ini.

“Ternyata selepas hilang dominasi politik, orang Melayu kini menyambut baik kedua-dua slogan. Hakikatnya, parti politik Melayu muslim tidak ada pilihan, melainkan dengan menampilkan calon-calon yang berwibawa untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. PRK Semenyih akan menjadi penentu.

“Seandainya gagal, maka tidak mustahil rakyat terutamanya golongan muda dan pengundi atas pagar menolak mereka sekali lagi. Pasca PRU14 menyaksikan orang Melayu bangkit dan menyuarakan kehendak mereka untuk menyaksikan kesepakatan umat adalah satu realiti, bukan retorik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ikbal yakin seruan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ akan membuktikan betapa pentingnya parti politik mengetengahkan calon-calon berintegriti dan mendokong agenda kesepakatan orang Melayu.

“Calon inilah bakal memimpin rakyat, mengemudi hala tuju negara untuk menggapai kesejahteraan dan kemakmuran. Jika calon wakil rakyat yang ditampilkan tidak berintegriti dan tidak telus, mana mungkin mereka mampu mengemudi negara.

“Jika kita lihat pemimpin hari ini, ada yang sanggup dan tidak malu untuk menipu mengenai kelayakan akademik mereka demi mendapatkan kuasa, Mereka tidak telus melaksanakan amanah dan sanggup mengamalkan kronisme untuk ahli parti mereka dan sekutu-sekutu politik mereka?,” katanya.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan untuk bersepakat meneruskan kerjasama politik bersama PAS dan Berjasa pada PRK Semenyih 2 Mac depan.

Katanya, pihaknya bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memperincikan program, gerak kerja sebagai pembangkang untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani isu berkaitan rakyat.

“Kami bersepakat untuk ahli-ahli UMNO, PAS, Ikatan dan Berjasa turun mengundi, dan pastikan seramai mungkin mereka yang tidak berparti untuk bersama-sama mendukung calon BN yang bakal ditentukan nanti,” katanya.

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *