Dominasi DAP mungkar, perlu ditamatkan segera: Berjasa

Parti politik perlu adakan pakatan baharu kembalikan dominasi kuasa orang Melayu

BANGI, 17 Jamadilawal 1440H, Rabu – Dominasi parti tamak haloba, DAP ke atas kerajaan Malaysia adalah satu kemungkaran yang perlu ditamatkan segera, tegas Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merombak kerajaan Pakatan Harapan sedia ada, yang disifatkan gagal membela nasib rakyat. 

Maka sekali gus katanya, parti-parti Melayu boleh mengadakan pakatan baharu bagi mengembalikan semula kuasa dominasi politik orang Melayu.

“Selepas umat Islam kehilangan dominasi ekonomi ke tangan penjajah, yang kemudiannya diwarisi oleh kaum Cina, kini umat Islam kehilangan dominasi kuasa politik, sehingga mudah dipercaturkan oleh parti cauvinis DAP. 

“Akibatnya, terlalu banyak kes yang menimbulkan perasaan tidak puas hati orang Melayu timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ustaz Hazizi menegaskan, Perdana Menteri perlu melakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal, kerana ia melibatkan kaum majoriti. 

“Tubuhkan blok kepartian baharu yang memberikan dominasi kembali kepada orang Melayu, atau bubarkan Parlimen bagi memberi jalan pilihan raya lebih awal,” katanya. 

Terdahulu, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Abdullah Zaik Abd Rahman menyarankan Dr Mahathir supaya membubarkan Parlimen kerana pemerintahan kini didominasi DAP.

Malah, Ustaz Abdullah berkata, Dr Mahathir juga dilihat hampir hilang kawalan sepenuhnya ke atas pemerintahan dan anggota Kabinet.

Beliau berkata, keadaan ini sangat berbahaya kepada negara dalam semua sudut, sama ada politik, ekonomi, perpaduan, keselamatan dan memerlukan tindakan tuntas daripada pemimpin negara itu.

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *